Oppo Find X8 adalah peranti mercu kompak yang cukup berkuasa dengan sistem kamera Hasselblad. Kami di FixBay menyedari kemampuan peranti ini dan memberikan majikan kami cuba menggunakannya. Artikel ini adalah pendapat beliau yang ditulis semula
Skrin rata yang memudahkan pengguna tegar iPhone untuk melakukan peralihan. Ia juga cantik, terang dan sangat memuaskan dengan warna HDR yang menakjubkan. Skrin rata ini turut membuatkan saya mula menghargai peranti mercu Android yang akhirnya menggunakan formula premium iPhone yang hampir sempurna.
Prestasi peranti dengan ColorOS baharu membuatkan saya mengimbau kembali zaman kegemilangan OnePlus beberapa tahun lepas. Saya menggemari sistem operasi yang ringkas tetapi menawarkan banyak ciri dan fungsi untuk kustomasi. Tidak lupa juga ciri AI yang berkali ganda lebih baik berbanding Apple Intelligence.
Kemampuan speaker stereo yang mengasyikkan, sedap dan sangat melegakan selepas bertengkar dengan pekerja yang tidak menyumbang kepada jualan cawangan. Kemudian, Oppo antara peranti yang membawakan kesan getaran haptik menghampiri iPhone. Ternyata keputusan saya membeli Find X8 berbanding naik taraf iPhone 14 Pro saya ke iPhone 16 Pro adalah keputusan yang bijak.
Dari segi kamera, MashaAllah - Hasselblad adalah saru sistem kamera yang patut digunakan oleh lebih banyak pengeluar peranti. Tidak kira video, foto, waktu malam, senja, siang, objek bergerak dan sebagainya - saya yang sudah lama tidak mengusung kamera profesional - membuatkan saya persoalkan adakah telefon pintar sudah memadai?
Saya tidak bermain permainan video yang banyak, namun prestasi peranti dengan cip Dimensity mercu ini sudah memuaskan. Saya turut tidak hiraukan masalah bateri kerana menjadikan Find X8 sebagai peranti kedua mempunyai ketahanan mencapai 2 hari walaupun peranti berada dalam tubuh yang kecil. Sebagai pengguna iPhone, saya amat bersyukur Find X8 masih mempunyai suis lungsur notifikasi tetapi tidak sabar untuk merasai butang fizikal seakan Action Button suatu hari nanti.
Tidak banyak yang saya tidak suka pada peranti ini selain ia ada sedikit masalah mudah memanas. Itu pun mungkin salah saya sendiri kerana kerap menggunakan kamera peranti. Kemudian adalah ekosistem pengecasan yang memerlukan pembelian aksesori tambahan hanya untuk sokongan Qi2.
Sebagai individu yang mengendalikan kedai membaiki peranti di Malaysia, ramai memaklumkan kepada pasukan kami Oppo antara yang kerap mengalami masalah skrin garis hijau. Namun, masalah ini kerap berlaku pada peranti dengan panel skrin Samsung. X8 menggunakan panel BOE yang masih tidak ada laporan kerosakan oleh pasukan teknikal kami.
Jadi adakah saya menggemari Oppo Find X8 ini? Ya, tetapi saya masih akan menggunakan iPhone kerana kerja. Namun, X8 ini akan menjadi peranti utama saya untuk tugasan lain dan tujuan kamera.
Anda bagaimana?