Walaupun kami di FixBay mencari rezeki dengan membaiki peranti pengguna, kami tetap berpegang dengan pendirian di mana berkongsi ilmu teknologi seperti tips penjagaan peranti masih lagi menjadi keutamaan kami. Benar, kami gemar membaiki peranti pengguna tetapi pada masa yang sama kami juga ingin mendidik pengguna agar masalah kecil boleh diselesaikan sendiri terus dari rumah tanpa perlu baiki di mana-mana kedai. Perkara ini akan membuatkan masa anda lebih dihargai dan duit anda lebih dicintai.
Di dalam artikel ini akan kami kongsi petua penjagaan peranti anda, iaitu telefon pintar untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.
Jika anda adalah pemilik kepada telefon pintar dalam kategori mercu yang biasanya harga jualan adalah atas RM3,000, kami menggalakkan anda untuk melabur kepada aksesori perlindungan premium. Tidak kira sama ada kerangka pelindung atau pelindung skrin. Dengan kerangka pelindung premium, ia sudah diiktiraf menggunakan bahan binaan yang sahih dan rekaan serta pengeluarannya telah mengikut piawaian tertentu seperti tahan lasak gred tentera, boleh serap hentakan dan paling penting ia akan melindungi peranti anda dari masalah kemek, calar, atau panel belakang retak.
Bercakap mengenai retak, pelindung skrin juga penting. Cuma untuk mendapatkan kualiti skrin terbaik anda sebenarnya sepatutnya menggunakan pelindung jenis jelas bukan kusam atau privasi agar dapat menikmati warna HDR dan keindahan skrin OLED peranti anda. Pelindung terbaik biasanya adalah kaca, cuma ia akan menambah tebal peranti dan tidak sesuai untuk peranti dengan skrin melengkung. Oleh yang demikian, pelindung skrin jenis hidrogel kadangkala adalah pilihan bijak kerana fleksibel, menyokong pelbagai peranti dan mempunyai ciri pulih semula untuk kesan calar dan buih.
Di FixBay kami ada Filem Pelindung tersendiri. Kalau anda mahu dapatkannya secara percuma, boleh emel kami ke saleeyah@fixbay.co
Di Malaysia, cuaca kerap menjadi tidak menentu tidak seperti negara luar dengan empat musim di mana kebanyakan telefon pintar direka. Untuk negara kita yang kerap panas, langkah penjagaan peranti adalah sedikit berbeza - misalnya pada bahagian suhu. Suhu adalah musuh utama mana-mana barangan elektronik tidak kira pada ekstrem sejuk atau ekstrem panas. Telefon pintar yang anda gunakan tidak kira iOS atau Android, sentiasa elakkan ia terdedah kepada suhu yang ekstrem.
Antara langkah penjagaan adalah yang pernah kami kongsi dalam artikel Tips oleh FMD. Namun, ada banyak kaedah lain sebenarnya. Pertama yang anda sentiasa perlu tahu adalah mengenai pengecasan peranti. JANGAN sesekali mengecas peranti sambil ia digunakan dan jangan kerap mengecas peranti dengan pengecas pantas sehingga 100%. Selain itu, jika anda selesai menggunakan aplikasi berat di dalam peranti dan ia mula memanas, jangan terus simpan di dalam kocek atau beg atau di mana-mana yang tertutup. Biarkan ia kembali ke suhun normal sebelum simpan atau sambung menggunakannya.
Baca: Bagaimana Menjamin Kesihatan Bateri Peranti Dengan Ketahanan Yang Memuaskan
Semua orang tahu, air dan elektronik bukan gandingan mesra. Biasanya orang ramai terbiasa dengan konsep barangan elektronik dengan wayar dan kabel terbina lebih bahaya, sedangkan telefon pintar yang sedang digunakan, jam tangan pintar yang sedang dipakai dan aksesori audio yang disumbat ke dalam telinga juga bahaya jika terdedah kepada air. Ya, jika sudah ada perlindungan IP68 ke IP69 ke IPX4 ke - barangan elektronik masih boleh rosak.
Kebiasaannya, telefon pintar moden akan terlindung daripada masalah percikan air. Ini adalah untuk cecair 'ringan' seperti percikan atau peluh. Namun pendedahan kepada air yang banyak seperti air lebihan wuduk, air hujan, air kopi Zus yang tertumpah dan sebagainya memang sukar untuk menyelamatkan peranti anda kecuali jika perlindungannya adalah IP68 ke atas yang boleh bertahan untuk tekanan air pada sesuatu durasi. Penjagaan peranti daripada ia terdedah kepada cecair hanya boleh dilakukan dengan disiplin pada diri sendiri ketika menyimpan peranti. Akan datang, FixBay akan kongsi artikel mengenai perlindungan IP seperti apa sebenarnya IP68.
*FixBay menawarkan semakan peranti PERCUMA jika anda ingin semak masalah peranti anda sebelum dibaiki.
Sepanjang bertahun mengendalikan firma pembaikan peranti pengguna di Malaysia, masalah paling kerap juruteknik melihat pengguna peranti Android dan iOS adalah penggunaan aplikasi cetak rompak. Ramai sanggup mencari jalan haram menggunakan aplikasi berbayar percuma kerana tidak ingin bayar kepada pembangun. Adakah jika anda meniaga nasi lemak, pelanggan anda mengambil nasi tanpa bayar anda suka? Itulah perasaan pembangun atau syarikat yang anda ambil aplikasi mereka tanpa bayar. Kami tahu anda mahu nikmati ciri dan fungsi menarik tetapi sekurang-kurangnya langgan atau kongsi langganan. Ini kenapa anda patut langgan dan bukan rompak.
Aplikasi cetak rompak 99.9% biasanya akan mempunyai komponen aplikasi hasad ataupun malware. Aplikasi hasad ini memang dengki dengan pengguna dan pemilik peranti kerana ia boleh melakukan kerja-kerja mencuri data, menyerang peranti dengan virus, mengakses galeri untuk kerja memalukan, mencuri data perbankan ataupun mengakses data perbankan anda. Amat mudah untuk memastikan perkara ini tidak berlaku seperti yang pertama JANGAN menggunakan aplikasi cetak rompak. Pemasangan APK, muat turun dari sumber sahih dan muat turun aplikasi yang ada lesen. Kemudian adalah RAJIN melakukan kemas kini perisian peranti lagi-lagi kemas kini tampalan sekuriti yang biasanya tiba setiap bulan atau setiap 3 bulan. Langkau kemas kini OS dibenarkan tetapi kemas kini sekuriti jangan langkau.
Dulu saya tidak suka kerana tidak faham, tetapi lama kelamaan saya menjadi suka dan faham. Ini adalah rutin mematikan peranti dan menghidupkan ia semula atau dengan kata lain restart/reboot. Jika anda sedari, ciri ini terbina pada banyak peranti Android tidak kira siapa yang mengeluarkannya dan ia masih disertakan kerana ia penting. Melakukan rutin mati dan hidupkan semula peranti dapat menyegarkan semula peranti dalam keadaan yang, segar. Ini secara tidak langsung menjadikan penggunaan peranti lebih lancar, lebih pantas dan lebih stabil.
Aktiviti ini akan mengurangkan masalah lengah masa, masalah notifikasi, masalah sistem tergendala dan masalah memori yang secara tiba-tiba ditelan sistem. Pada masa yang sama, ia turut akan dapat mengelak masalah gangguan penggunaan peranti yang serius. Selain itu, anda turut boleh memanfaatkan aplikasi sekuriti yang terbina pada kebanyakan peranti Android misalnya Phone Manager atau Device Care. Ciri ini memang ada guna dan bukan sekadar gimik kerana bahagian memori dapat mengosongkan cache dan memberi impak positif kepada prestasi peranti anda.
Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pelanggan, pengikut dan pembaca FixBay. Kami berbesar hati untuk kongsi ilmu penjagaan peranti kepada anda. Kami tidak berkira dengan pelanggan, kerana berkongsi ilmu adalah satu penghargaan oleh kami dengan pengalaman membaiki peranti untuk selama lebih sedekad. Terus ikuti FixBay di laman web ini, di media sosial atau terus kunjungi ke mana-mana cawangan FixBay untuk mendapatkan nasihat dan semakan peranti percuma.