Rata-rata pengguna telefon pintar masa kini lebih cenderung memilih iPhone berbanding Android.
Persoalannya, mengapa?
Artikel sebelum ini membincangkan bahaya perisian yang dimuat turun bukan dari aplikasi yang sah seperti Play Store dan Apple Store. Pengguna berisiko untuk digodam dengan lebih mudah dan data peribadi mereka berkemungkinan besar digunakan untuk tujuan yang salah. Isu ini membuka mata orang ramai untuk berhati-hati dalam memuat turun perisian dari laman sesawang.
iPhone berada di barisan hadapan untuk keselamatan dalam reka bentuk dan operasi berbanding Android kerana ciri keselamatan teguh yang ada padanya. Tentu sajalah pengguna risau maklumat peribadi mereka terdedah dengan mudah, bukan? Dan pastinya pengguna akan memilih peranti yang lebih selamat digunakan.
Android yang mempunyai lebih ramai pengguna sebelum ini kerap menjadi sasaran penggodam. Ini jelas menunjukkan mengapa iPhone lebih kehadapan dari segi keselamatan. Apple sentiasa menjaga kualiti iPhone dengan menaiktaraf ciri keselamatannya untuk memastikan maklumat pengguna lebih dilindungi dan membolehkan mereka melaraskan jenis maklumat yang mereka kongsi.
Ciri keselamatan pada iPhone ini didayakan sama ada secara automatik atau hanya didayakan semasa keperluan sahaja dan membantu menghalang sesiapa sahaja yang cuba menceroboh data pada iPhone serta iCloud pengguna.
1. Apple ID
Apple ID merupakan sebuah akaun yang dicipta khusus kepada satu pengguna (lebih selamat jika tidak dikongsi) untuk mengakses data pengguna dalam iCloud dan maklumat akaun pengguna untuk perkhidmatan Apple seperti App Store, Apple Music, FaceTime, Apple Pay dan iTunes Store. Ianya mengandungi alamat e-mel dan kata laluan tetapi untuk sesetengah tempat, alamat e-mel tersebut boleh diganti dengan nombor telefon. Menarik, bukan?
Ha, kalau nak tahu, ciri keselamatan pada Apple ID ini terletak pada penjanaan kunci pemulihan untuk akaun pengguna. Kunci pemulihan ini merupakan kod 28 aksara yang dijana secara rawak dan membolehkan pengguna untuk menyimpannya di tempat yang selamat. Pilihan lain yang boleh diaplikasikan oleh pengguna adalah berkongsi salinan kunci pemulihan ini dengan orang yang dipercayai melalui AirDrop.
Tetapi, apa kelebihannya?
Dengan adanya kunci pemulihan ini, penggodam tidak dapat mengakses ke iPhone anda dengan mudah. Misalnya, iPhone anda telah dicuri dan cubaan untuk mengakses tidak akan berjaya sekiranya kata laluan yang salah dimasukkan berkali-kali, kerana hanya dengan kunci pemulihan ini sahaja, kata laluan anda boleh ditetap semula. Menarik, kan?
2. Touch ID dan Face ID
Pengaksesan menggunakan Touch ID atau Face ID ini memudahkan pengguna dengan hanya pengecaman cap jari pada butang Utama (Touch ID) dan pengecaman wajah pengguna sahaja (Face ID). Untuk pengguna iPhone 12, model iPhone 13 dan model iPhone 14, anda juga boleh menggunakan Face ID semasa memakai pelitup muka. Wah, menarik sekali!
Tetapi, pasti anda akan terfikir bahaya sekiranya pihak tidak bertanggungjawab cuba menceroboh iPhone anda dengan cara ini, kan?
Ha, jangan risau! Pengaktifan Face ID semasa memakai pelitup muka ini masih menganalisis ciri unik di sekitar mata anda. Jadi, tiadalah isu 'mereka' yang cuba mengakses iPhone anda menggunakan taktik ini.
Selain itu, penggunaan Touch ID dan Face ID ini juga memerlukan kod laluan. Dengan adanya kod laluan ini, penceroboh tidak akan berjaya menggunakan iPhone anda kerana kod laluan hanya diketahui oleh anda sendiri sahaja melainkan digodam. Namun, jika kod laluan anda dimasukkan secara salah enam kali berturut-turut, iPhone anda akan dinyahdayakan dan menyulitkan iPhone anda untuk diceroboh.
3. Cari iPhone Saya
Pengaktifan rangkaian 'Cari' pada iPhone membantu pengguna sekiranya peranti mereka hilang atau dicuri dengan cara menghalang orang lain daripada mengaktifkan atau menggunakannya semasa hilang. Istimewanya Cari ini adalah, rangkaian ini masih boleh mencari peranti pengguna walaupun di luar talian (tidak disambungkan ke Wi-Fi atau selular).
Model yang menyokong jalur ultralebar yang mengaktifkan rangkaian Cari membolehkan Cari menjejak sehingga 24 jam selepas peranti dinyah aktifkan. Manakala, jika berada dalam mod rizab kuasa sehingga 5 jam, rangkaian Cari masih berkuasa untuk menjejak peranti pengguna.
Sekiranya paras cas bateri peranti rendah, apa akan terjadi?
Pengaktifan Hantar Lokasi Terakhir di dalam peranti iPhone anda akan menghantar lokasi terakhir serta-merta ke pihak Apple. Jadi, anda tidak perlu khuatir sekiranya cas bateri anda rendah atau habis sepenuhnya.
4. Semakan Keselamatan
Semakan Keselamatan pada iPhone berfungsi menghentikan perkongsian akses data peribadi, penukaran kod laluan dan kata laluan Apple ID pengguna, menghentikan perkongsian lokasi melalui rangkaian Cari, mengehadkan mesej dan FaceTime, penetapan semula keizinan privasi sistem untuk aplikasi, serta banyak lagi.
Pengguna juga boleh menyemak dan mengemas kini maklumat yang telah dikongsi serta lain-lain perkara yang dinyatakan di atas dari masa ke semasa. Anda boleh memilih sama ada menghentikan perkongsian atau mengaktifkan perkongsian. Semuanya terpulang pada pengguna itu sendiri. Mudah dan selamat, kan?
5. Perlindungan Privasi Mail
Aplikasi Mail dalam peranti iPhone ini boleh diaktifkan Perlindungan Privasi yang menyekat pengirim untuk mengetahui aktiviti Mail pengguna. Bukan itu sahaja, alamat IP pengguna juga disembunyikan daripada pengirim. Jadi, pengirim tidak boleh memautkannya pada aktiviti dalam talian pengguna yang lain serta mengetahui lokasi yang tepat. Lebih selamat begini, kan?
Bagi mereka yang tidak suka membalas e-mel serta-merta dan mahu mengelakkan diketahui pengirim, Perlindungan Privasi Mail ini mampu menyelamatkan anda! Jadi, anda mempunyai masa untuk membalas e-mel yang telah dihantar.
6. Geganti Peribadi iCloud
Perkhidmatan privasi internet baharu ini membolehkan penyekatan tapak web dan penyedia rangkaian daripada berkongsi profil peribadi pengguna secara terperinci. Apabila ia diaktifkan pada iPhone anda, trafik akan disulitkan, dan kesannya alamat IP serta lokasi tepat anda tidak akan dikesan oleh tapak web yang telah anda layari.
Dalam erti kata lain, Geganti Peribadi iCloud ini membolehkan anda melayari web dengan lebih selamat dan peribadi.
7. Mod Penyekatan
Serangan siber acapkali dibicarakan dan menjadi kebimbangan pengguna alat peranti. Sebagai langkah bijak bagi menghadap serangan siber ini, Apple memperkenalkan Mod Penyekatan yang menawarkan penyekatan secara ekstrem tetapi hanya untuk segelintir pengguna yang berkemungkinan besar disasarkan secara peribadi oleh ancaman digital ini. Jika anda percaya anda adalah sasarannya, aktifkan Mod Penyekatan ini demi keselamatan maklumat anda.
Apa yang dilakukan oleh Mod Penyekatan ini?
Apabila mod ini diaktifkan pada iPhone anda, peranti anda tidak akan berfungsi seperti biasa. Aplikasi Apple, Safari, Mesej, dan banyak lagi perkhidmatan akan dihadkan dan dilindungi secara rapi. Anda masih boleh menggunakan tapak web dan komunikasi internet, tetapi secara terhad pada prestasi dan kebolehgunaannya.
Kalau anda masih ingat, pada tahun 2015 dan 2016, syarikat Apple mengalami kontroversi kerana menolak untuk bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan Negara (FBI) untuk mencipta aplikasi yang membolehkan data privasi pengguna diceroboh.
Permintaan ini diusulkan berikutan kes pengganas menembak mati orang awam secara rambang di San Bernardino pada bulan Disember tahun 2015 yang mengakibatkan 14 kematian. Demi mendapatkan maklumat dan data peribadi pengganas tersebut yang menggunakan iPhone 5C, pihak FBI berjumpa dengan pihak Apple untuk mengemukakan hasrat mereka itu.
Namun, ditolak serta-merta oleh Apple kerana isu ini akan menjadi masalah kepada mereka kerana jika data peribadi diceroboh, maka, akan ada lebih banyak data pengguna lain bakal diakses secara haram. Pada akhirnya, isu ini selesai dengan pertolongan pihak ketiga yang tidak diketahui maklumatnya.
Ini menunjukkan keteguhan polisi Apple dalam melindungi data dan maklumat peribadi penggunanya secara telus. Walau bagaimanapun, kesan dari kontroversi tersebut, keselamatan pihak Apple dipersoalkan dan menyebabkan Apple mengambil tindakan untuk menaiktaraf sistem keselamatannya dari masa ke semasa. Aduhai, susah juga ya jika begini situasinya.
Dimana ada kelebihan, disitu jugalah terselit kelemahan.
Pada awal bulan Ogos tahun ini (2022), Apple telah mengeluarkan dua laporan berhubung keselamatan iPad, iPhone dan Mac. Pendedahan Apple ini telah menunjukkan bahawa penggodam akan mendapat “akses pentadbir (admin) penuh” ke semua peranti tersebut. Isu ini tentunya menimbulkan kebimbangan untuk penggunanya.
Apa agaknya tindakan Apple dalam menangani isu ini, ya?
Sungguhpun begitu, kelebihan iPhone ini lebih banyak jika dibandingkan dengan kelemahan yang ada. Pengguna tidak perlu ragu-ragu dalam menggunakan peranti ini, dan pengguna yang sedia ada boleh terus kekal bersama generasi iPhone yang ada.
Tetapi, jika anda khuatir perisian anda digodam dan sebagainya, boleh rujuk dan semak dengan pakar kami di Pusat Servis FixBay untuk memastikan perisian yang anda muat turun adalah selamat. Tidak kiralah anda pengguna Android atau iPhone, keselamatan adalah yang paling utama. Jangan biarkan data peribadi anda jatuh di tangan pihak yang salah.
Gunakanlah peranti anda dengan bijak!
[…] ingatkah anda penulisan sebelum ini yang mendedahkan dua laporan yang berkaitan dengan keselamatan iPhone dimana ada penggodam yang menceroboh data peribadi pengguna? Untuk elakkan perkara tersebut […]