Google baru-baru ini mengumumkan bahawa model kecerdasan buatan mereka, Gemini, kini mencatatkan rekod sebanyak 35 juta pengguna aktif harian. Peningkatan ini memperlihatkan penerimaan positif terhadap Gemini sejak ia dilancarkan sebagai salah satu pesaing utama dalam dunia AI.
Namun begitu, jumlah tersebut masih jauh dibandingkan dengan ChatGPT oleh OpenAI, yang kini mempunyai lebih daripada 160 juta pengguna aktif harian. Ini sekaligus mengekalkan dominasi ChatGPT sebagai model AI paling popular, disokong oleh komuniti pengguna yang aktif serta ekosistem aplikasi yang semakin berkembang.
Di Malaysia, minat terhadap teknologi AI turut memperlihatkan peningkatan. Trend seperti “Ghibli Raya”, yang memanfaatkan keupayaan ChatGPT 4.0 untuk menghasilkan gambar berkonsepkan Ghibli dalam masa beberapa saat sahaja menjadi bukti bagaimana AI semakin diterima dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Walaupun ChatGPT kekal mendahului, Google dilihat jelas dengan hala tuju Gemini. Dengan penambahbaikan berterusan dari segi prestasi model, integrasi ciri-ciri baharu, dan perluasan dalam ekosistem Google, Gemini dijangka akan terus memberikan saingan kepada pemain utama dalam pasaran AI.
Dengan perkembangan ini, persoalannya kini selepas ramai menikmati keupayaan ChatGPT, adakah anda bersedia untuk mencuba apa yang ditawarkan oleh Gemini?