Pemindahan wang di Malaysia sejak dari dulu lagi sentiassa mudah dan ini berbeza dengan Amerika Syarikat yang sangat aneh kaedah perbankan mereka. Rakyat di sana tiada istilah memindahkan wang antara akaun pengguna secara terus, ramai akan menggunakan dompet digital. Terbaru adalah Samsung Wallet yang baru membenarkan ciri pemindahan wang dengan hanya tap antara peranti Samsung Galaxy sahaja.
Tap to Transfer bukan sekadar ciri biasa. Ia dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Samsung, Visa, dan Mastercard – dua nama besar dalam industri kewangan global. Melalui integrasi ini, maklumat kad debit yang disimpan di dalam Samsung Wallet akan digunakan untuk memindahkan wang secara serta-merta, tanpa perlu menunggu pengesahan bank yang biasanya mengambil masa.
Bayangkan situasi ini: Anda keluar makan bersama rakan, dan tiba-tiba si dia terlupa membawa wang tunai. Tidak perlu risau, cukup sekadar melagakan peranti Galaxy masing-masing, dan transaksi selesai dalam beberapa saat sahaja. Lebih menarik, tidak perlu aplikasi tambahan kerana Samsung Wallet mengendalikan segala proses dengan selamat dan pantas.
Tap to Transfer menggunakan teknologi NFC (Near Field Communication) yang terbina dalam peranti Galaxy. Sistem ini akan mengesan kehadiran peranti Galaxy yang lain apabila didekatkan, sekaligus membolehkan proses pemindahan wang dilakukan secara peer-to-peer.
Namun, untuk menikmati fungsi ini, kedua-dua peranti wajib mempunyai aplikasi Samsung Wallet yang dikemas kini ke versi terkini. Ciri ini juga mempunyai perlindungan keselamatan yang ketat, memastikan setiap transaksi disahkan secara selamat tanpa risiko data dicuri.
Walaupun ciri ini cukup menarik, Samsung buat masa ini hanya memperkenalkan Tap to Transfer di pasaran Amerika Syarikat pada penghujung bulan ini. Tiada maklumat rasmi diberikan berkenaan pelancaran di pasaran Asia, termasuk Malaysia.
Jika Samsung berjaya melancarkan ciri ini secara global, ia pasti akan mengubah cara pemindahan wang dilakukan – lebih pantas, mudah, dan bebas tunai. Satu lagi langkah ke hadapan dalam dunia teknologi kewangan.
Sumber: Amanz