Rockstar Games baru-baru ini berkongsi treler kedua permainan video mereka yang dinantikan ramai iaitu Grand Theft Auto VI. Treler memperlihatkan kembalinya ke Vice City di era moden.
GTA 6 bakal membawa pemain kembali ke Vice City yang terletak di negeri fiksyen Leonida. Kali ini, Rockstar memperkenalkan dua watak utama iaitu Jason dan Lucia, pasangan jenayah yang cuba mencari kehidupan lebih baik dalam dunia yang penuh risiko dan berbahaya.
Treler bermula dengan Jason mengambil Lucia dari penjara, namun tidak jelas sama ada siri jenayah mereka berlaku sebelum atau selepas Lucia dipenjarakan. Mungkinkah dia terus kembali ke dunia jenayah selepas dibebaskan?
Menariknya, walaupun GTA 6 mengambil latar masa era moden, trailer tetap menyelitkan elemen retro seperti muzik ’80-an yang ikonik. Visual bandar yang hidup, kereta mewah, dan aksi lasak jelas menunjukkan Rockstar tidak berkompromi dalam aspek kualiti
Rockstar mengesahkan bahawa Grand Theft Auto 6 akan dilancarkan pada 26 Mei 2026, hampir 13 tahun selepas pelancaran GTA 5 yang terjual lebih 200 juta unit sejak debutnya pada 2013.
Adakah GTA 6 akan mengulangi kejayaan pendahulunya? Berdasarkan trailer ini, nampaknya Rockstar bersedia untuk sekali lagi mendominasi dunia permainan video.