Sony WH-1000XM6 Kini Rasmi - Boleh-Lipat, ANC Lebih Padu, RM2,099

Sony secara rasmi melancarkan fon kepala baharu mereka, WH-1000XM6, awal pagi ini, dengan akhirnya mengembalikan rekaan boleh-lipat yang telah lama dinantikan ramai. Walaupun rekaannya kelihatan serupa dengan model sebelumnya, WH-1000XM5 tiga tahun lalu, XM6 membawakan beberapa perubahan yang masih lagi berbisa.

Antara perubahan ketara ialah kemampuan untuk melipat fon kepala, menjadikannya lebih mudah disimpan bersama bekas penyimpan yang turut mengecil. Engsel baharu berdekatan cawan telinga membolehkan XM6 dilipat dengan cara yang sama seperti model XM4. Engsel logam digunakan pada cawan telinga kiri dan kanan bagi memastikan ketahanan walaupun dilipat berulang kali.

Dari segi prestasi, XM6 dipertingkatkan dengan cip Sony QN3 baharu yang menawarkan pemprosesan pembatalan hingar aktif 7x lebih pantas berbanding cip QN1 yang digunakan dalam XM5. Fon kepala ini juga dilengkapi dengan pemandu audio dinamik 30mm dan 12 mikrofon. Sambungan audio boleh dilakukan melalui Bluetooth dan kabel audio 3.5mm serta turut boleh digunakan sambil ia dicas.

Ciri-ciri baharu lain yang diperkenalkan termasuklah kemampuan untuk menjawab dan menolak panggilan telefon dengan menganggukkan kepala, butang kuasa yang lebih besar, dan mod audio yang menghasilkan pentas bunyi lebih luas seolah-olah berada di dalam kafe. Reka bentuk asimetri pada bahagian tangkap memudahkan pengguna untuk membezakan cawan telinga kiri dan kanan, dan span pada cawan telinga juga lebih mudah ditukar.

Sokongan untuk audio Hi-Res Audio, LDAC, DSEE Extreme dan 360 Reality Audio serta penjejakan pergerakan kepala dikekalkan. Bateri fon kepala ini mampu bertahan sehingga 30 jam, dan pengecasan pantas selama 3 minit membolehkan penggunaan sehingga 3 jam.

Di Malaysia, pra-tempahan untuk Sony WH-1000XM6 telah dibuka pada harga RM2099 sepasang. Fon kepala ini ditawarkan dalam pilihan warna Black, Platinum Silver, dan Midnight Blue. Harga ini lebih tinggi berbanding model XM5 yang dilancarkan pada harga RM1799. Pelanggan yang membuat pratempahan akan menerima tempat meletak fon kepala bernilai RM199, dan jika produk didaftarkan, mereka akan menerima kredit TnG eWallet bernilai RM50.

Some rights reserved © 2022 - 2025 · Fixbay Sdn Bhd (1463044-X)
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram